Program Advokasi Inisiatif Lindungi Hak Kanak-Kanak

Posted on 19 May 2025
Source of News: UKAS


LUNDU: Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Sarawak Tahun 2025 bukan sekadar satu inisiatif advokasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kanak-kanak di negara ini menikmati hak asas mereka termasuk hak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat, membesar dengan sihat serta didengari oleh masyarakat sekeliling.

“Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak ini telah dimulakan sejak tahun 2024 dan sehingga kini telah melibatkan 25 buah sekolah di seluruh Sarawak dengan lebih 5,500 peserta.

"Tahun ini, ia diperluas ke 30 buah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membawa mesej perlindungan kanak-kanak ke akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran program itu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu, pada Isnin.

Ahli Parlimen Santubong itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang sering kali menjadi tular di media sosial.

Ujar beliau, masyarakat tidak boleh berdiam diri apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Keselamatan kanak-kanak merupakan keutamaan Kementerian dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk melindungi golongan ini daripada sebarang bentuk ancaman atau bahaya,” tambahnya.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan merupakan antara usaha bersepadu pelbagai agensi dalam memastikan hak dan kesejahteraan kanak-kanak terus terpelihara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang mewakili Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Dr Sopian Brahim; Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie; Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha; Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak, Jimbau Munggat; Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Lundu, Goh Chin Seng; Timbalan Pengarah (Persekutuan), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohd Ali Taib dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim.-EDISI UKAS