KOTA PADAWAN: Majlis Makan Malam Pra Gawai Peringkat Daerah Kecil Padawan disambut meriah dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama serta komuniti Bidayuh, sekali gus menyerlahkan semangat perpaduan menjelang sambutan Gawai Dayak.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn di sini pada Ahad.
Dalam ucapannya, Dato Sri Roland memuji komitmen masyarakat Bidayuh yang sentiasa menyokong agenda kerajaan dan menekankan pentingnya penguasaan sains, teknologi, matematik dan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menyentuh tentang potensi pembangunan di Bayur serta sektor pelancongan dan pertanian di kawasan Mambong.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan bantuan bakul makanan kepada 15 penerima dari golongan memerlukan sebagai tanda keprihatinan sempena musim perayaan.
Majlis ini bukan sekadar sambutan budaya, tetapi turut menjadi simbol penyatuan dan kekuatan komuniti Bidayuh dalam mengekalkan jati diri sambil menyokong pembangunan berterusan Sarawak.-EDISI UKAS