KOTA PADAWAN: Kampung Pangkalan Ampat mencipta sejarah apabila Kapitan baharu, Mei Lan, dilantik secara rasmi dalam satu majlis yang turut menyaksikan perasmian Pintu Gerbang kampung sebagai simbol kebanggaan dan perpaduan komuniti Cina setempat.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap ADUN Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil di sini pada Ahad.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan kawasan Mambong kini mempunyai lima Kapitan masyarakat Cina yang aktif, sekali gus memperkukuh struktur kepimpinan akar umbi di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengumumkan projek pembinaan jalan Kampung Abang ke Kampung Jaber yang telah diluluskan dengan peruntukan RM24 juta oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka ditender pada penghujung tahun 2025.
Sebagai sokongan kepada pembangunan komuniti, peruntukan khas sebanyak RM30,000 disalurkan kepada JKKK Kampung Pangkalan Ampat, manakala Kapitan baharu digalakkan memohon dana di bawah UNIFOR bagi pembangunan rumah ibadat.
Majlis turut menyerlahkan semangat muafakat apabila dihadiri ramai penduduk dan pemimpin tempatan, melambangkan harapan baharu buat Kampung Pangkalan Ampat.-EDISI UKAS