MUKAH: Pertandingan Futsal sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Tertutup 2025 anjuran Saberkas Cawangan Balingian bukan sekadar pentas sukan, tetapi menjadi pemangkin penyatuan belia dan pembangunan sahsiah di peringkat akar umbi.
Disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Saberkas Cawangan Balingian, Abdul Yakub Arbi, acara yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Sungai Alo itu menyaksikan penglibatan aktif 14 unit Saberkas dari Balingian serta pasukan jemputan dari Cawangan Tellian.
Menurut Abdul Yakub, penganjuran acara sukan seperti ini penting dalam membina jati diri belia serta memupuk semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan.
“Melalui platform seperti KASUS, kita bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam arena sukan, tetapi turut membina sahsiah dan semangat berkomuniti dalam kalangan belia,” jelasnya.
Beliau turut memuji inisiatif menggunakan fasiliti kampung seperti gelanggang futsal yang telah dinaik taraf, membuktikan kemudahan sedia ada boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan sosial dan sukan di peringkat tempatan.
Karnival Sukan Saberkas yang diadakan secara tahunan ini dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam merapatkan hubungan antara ahli-ahli Saberkas dari pelbagai unit, di samping mempromosi gaya hidup sihat, disiplin dan daya saing dalam kalangan generasi muda.
Pertandingan futsal ini dijangka berlangsung sepanjang hari dengan penyertaan yang meriah dan semangat kesukanan tinggi daripada setiap pasukan.
Ia turut dimeriahkan oleh kehadiran penduduk setempat, pemimpin masyarakat dan penyokong belia dari pelbagai latar belakang.
Acara ini dianjurkan oleh Saberkas Cawangan Balingian dan dikelolakan oleh Unit Saberkas Tutus Ulu, dengan sokongan padu daripada barisan kepimpinan tempatan termasuk Bendahari Saberkas Cawangan Balingian, Kaunselor Ardyman Matan, serta Ketua-ketua Kaum sekitar.-EDISI UKAS