Program Mukah Car Free Day Sokong Gaya Hidup Sihat dan Pembangunan Mampan

Disiarkan pada 19 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Program Mukah Car Free Day yang berlangsung di Taman Boulevard, Jalan Boulevard Setiaraja pada Sabtu menerima suntikan semangat apabila disertai oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah Hajar Taib.

Inisiatif bulanan anjuran Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) ini bukan sahaja bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti fizikal, malah menyokong agenda pembangunan mampan dengan menekankan pengurangan pencemaran karbon dan pelepasan gas rumah hijau.

Menurut Dato’ Hanifah, pendekatan akar umbi seperti ini amat penting dalam menyemai kesedaran terhadap isu alam sekitar serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Beliau turut menekankan bahawa penyediaan ruang terbuka bebas kenderaan perlu diberi perhatian agar masyarakat dapat menikmati aktiviti luar secara sihat dan inklusif.

“Kita tidak mahu pembangunan bandar yang keterlaluan hingga mengetepikan kawasan hijau dan warisan tempatan. Kawasan rekreasi perlu dipelihara sebagai ruang santai dan simbol keharmonian antara manusia dan alam,” katanya ketika ditemui media.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pencemaran kenderaan, perubahan iklim, serta risiko banjir yang menuntut perancangan pembangunan masa depan lebih lestari.

Dalam pada itu, Dato’ Hanifah turut menggesa agar masyarakat aktif menjaga kesihatan melalui aktiviti seperti tai chi dan zumba, serta memberi maklum balas terhadap dasar-dasar kerajaan agar lebih responsif dan tidak membebankan.

Antara aktiviti yang menceriakan program ini termasuk senaman tai chi, zumba, pickleball, berbasikal, berjoging dan berjalan kaki, yang disertai pelbagai lapisan masyarakat tempatan. Program turut menyaksikan lawatan santai Hanifah ke Hub Usahawan Belia Mukah.

Hadir sama, Pengerusi MDDM Kaunselor Aini Suhaili dan Setiausaha MDDM Awang Abdul Razak Awang Bini.-EDISI UKAS