SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 49 orang pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, peningkatan ketara berbanding hanya 13 pelajar pada tahun sebelumnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, menyatakan rasa bangga dan penghargaan beliau terhadap pencapaian luar biasa tersebut ketika menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 yang dianjurkan pihak sekolah.
“Saya amat berbesar hati atas jemputan ke majlis yang begitu bermakna ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pelajar atas pencapaian yang membanggakan ini. Ia adalah hasil usaha gigih dan kesungguhan berterusan mereka,” katanya baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah insentif yang diberikan kepada pelajar cemerlang turut meningkat kepada RM10,800 sebagai tanda sokongan terhadap kecemerlangan akademik.
Tambahnya lagi, kejayaan ini membuktikan bahawa peningkatan prestasi sekolah adalah hasil kerjasama erat antara guru, pelajar, dan ibu bapa, serta sokongan berterusan daripada pihak komuniti.
Majlis turut dihadiri oleh barisan guru, ibu bapa serta pelajar yang diraikan, menambahkan lagi semarak suasana penghargaan terhadap usaha dan kejayaan mereka. - EDISI UKAS