Perarakan Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025 Cipta Sejarah, Kukuhkan Semangat ‘Segulai Sejalai’

Posted on 19 May 2025
Source of News: UKAS


SUBIS: Perarakan Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025 kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kalinya dianjurkan di kawasan Subis yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Batu Niah pada Ahad.

Perarakan sejauh 2 kilometer ini menampilkan elemen budaya masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, dalam usaha melestarikan warisan budaya dan menyemarakkan semangat perpaduan dengan anjuran bersama daripada Pejabat Daerah Subis, Pengerusi-Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah, agensi-agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat Jawatankuasa Pengelola Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025.

Lebih 1,800 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) dan komuniti tempatan mengambil bahagian dalam perarakan ini yang dimulakan dengan upacara Adat Miring dan Bebiau, serta dimeriahkan dengan iringan tabuh tradisional, persembahan gendang papat, tarian ngajat dan diakhiri dengan majlis perasmian rasmi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom hadir menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Dalam ucapannya, Dato Sri Dr Stephen Rundi menegaskan bahawa penganjuran program ini mencerminkan semangat perpaduan ‘Segulai Sejalai’ dalam kalangan rakyat berbilang kaum, khususnya di Daerah Subis.

Jelasnya, majlis ini menjadi simbol usaha bersepadu antara pihak kerajaan dan komuniti tempatan dalam memperkasakan nilai perpaduan, melestarikan warisan budaya, dan mengangkat Daerah Subis sebagai destinasi warisan pelancongan.

“Penganjuran pertama ini bukan sahaja mencipta sejarah, malah membuka ruang kepada generasi muda dan masyarakat luar untuk lebih mengenali kekayaan budaya masyarakat Dayak serta kepelbagaian etnik di Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 sebagai tanda sokongan dan dorongan terhadap penganjuran program berkenaan.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus; serta Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis. -EDISI UKAS