KUCHING: Kelab Muay Thai Kenyalang mengukir sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan TYT Cup 2025.
Pencapaian itu diraikan dalam satu majlis penghargaan khas bersama penaung kelab, Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim di Batu Kawa pada Sabtu.
Majlis makan tengah hari yang berlangsung dalam suasana penuh semangat turut dihadiri barisan atlet, jurulatih, pengurusan dan penyokong kelab sebagai tanda penghargaan atas kejayaan cemerlang yang diraih.
Antara pencapaian membanggakan yang diraih Kelab Muay Thai Kenyalang dalam kejohanan tersebut termasuklah 23 pingat emas, 7 pingat perak, 4 anugerah Peninju Terbaik serta 1 Anugerah Khas.
Kelab itu turut muncul sebagai Naib Johan bagi Piala Borneo, menambahkan lagi kejayaan berganda mereka di pentas TYT Cup 2025.
Senator Dato’ Ahmad dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap prestasi luar biasa pasukan itu, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa bakat muda Sarawak mampu menyerlah di peringkat tertinggi.
“Ini bukti anak Sarawak boleh bersaing dan menang. Saya akan terus menyokong mereka dalam menghadapi SUKMA, malah mungkin ke Sukan SEA sekiranya Muay Thai dipertandingkan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar kerajaan, sektor swasta dan masyarakat terus berganding bahu menyokong pembangunan sukan Muay Thai di Sarawak sebagai platform membentuk generasi belia yang berdisiplin dan kompetitif.-EDISI UKAS