LAWAS: Seramai 120 pelajar tingkatan lima diraikan dalam Majlis Graduasi SPM 2024 SMK Merapok yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Hotel Seri Malaysia Lawas, pada Sabtu.
Majlis anjuran SMK Merapok ini dihadiri lebih 400 orang, termasuk ibu bapa, guru-guru, pelajar serta tetamu kehormat yang terdiri daripada pemimpin masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang hadir sebagai tetamu kehormat, dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah atas usaha berterusan dalam mendidik dan membimbing pelajar mencapai kecemerlangan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengetua serta para guru yang gigih mendidik anak-anak kami.
Kejayaan ini membuktikan SMK Merapok sentiasa membawa peningkatan dalam pendidikan, dan ini menjadi kebanggaan kita semua,” ujar beliau.
Dato Henry turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak negeri itu.
Menurut beliau, inisiatif kerajaan termasuk pembangunan institusi pendidikan seperti MRSM Lawas yang akan dibina kelak, membuktikan komitmen kerajaan dalam memacu kemajuan pendidikan di kawasan ini.
Beliau turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada pihak sekolah untuk pelaksanaan program-program pendidikan pada masa akan datang.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil graduasi SPM 2024 kepada pelajar, anugerah tokoh pelajar serta kepimpinan pelajar.
Pelajar cemerlang, Muhammad Ikhwan, yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2024, turut menerima anugerah khas atas pencapaiannya yang membanggakan.
Acara diserikan dengan persembahan pelajar, penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik penaja, penyampaian cenderamata kepada VIP serta perarakan keluar cokmar sebagai simbolik penutup majlis.
Menurut pihak sekolah, majlis ini bukan sekadar pengiktirafan kepada kejayaan akademik, malah bertujuan menyemai semangat cinta terhadap sekolah serta mendorong pelajar terus melangkah ke peringkat lebih tinggi dengan jati diri dan kebanggaan sebagai alumni SMK Merapok.-EDISI UKAS