Kerajaan Sarawak Fokus Ekonomi Baharu & Pekerja Berkemahiran Tinggi

Disiarkan pada 18 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memberi fokus kepada peralihan menuju ekonomi baharu berasaskan teknologi, kemahiran dan produktiviti, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tumpuan diberikan kepada sektor-sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan adaptasi terhadap perubahan iklim global yang telah memberi kesan langsung kepada landskap ekonomi dunia.

"Mahu atau tidak, kita perlu mencari halatuju yang betul. Sebab itulah kita memerlukan latihan serta kepakaran, khususnya dari sudut disiplin teknikal.

"Terdahulu, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar, menyatakan kepentingan kemahiran dan peningkatan kemahiran (skill and upskilling).

"Ini kerana, ekonomi pada masa kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada ilmu yang diperoleh daripada buku di sekolah," katanya dalam ucapan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Sarawak di Hikmah Exchange, Ahad.

Beliau menegaskan, dalam era teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), pekerja tetap memainkan peranan penting, namun dengan keperluan kemahiran yang lebih tinggi dan bersifat teknikal.

"Namun, pekerja yang diperlukan ialah pekerja bijak (smart worker). Smart worker, smart salary – kerana produktiviti mereka sepadan dengan kepakaran yang dimiliki," ujar beliau.

Menurutnya lagi, Sarawak tidak mahu terperangkap dalam perangkap ekonomi kos tinggi dengan produktiviti yang rendah. Sebaliknya, penggunaan teknologi akan menjadi alat utama dalam mencapai kecekapan serta penjimatan kos dalam semua sektor.

“Kita tak mahu ekonomi kita tinggi kos, tapi produktiviti rendah. Tak mengapa kos tinggi, asalkan ia efisien. Teknologi ini memberi penjimatan. Gaji tinggi pun tak mengapa, asalkan produktiviti setara,” katanya.

Langkah ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membawa Sarawak ke arah status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan tumpuan kepada modal insan yang berkualiti serta berkemahiran tinggi dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, barisan Timbalan Menteri negeri, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS