KUCHING: Pendekatan tripartit atau 'tiga segi' melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja dilihat sebagai elemen penting dalam memacu pembangunan tenaga kerja dan ekonomi negeri Sarawak secara menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa kekuatan hubungan antara tiga pihak ini akan memastikan kemajuan yang seimbang dan mampan di negeri ini.
"Kalau tiga segi itu betul, majulah negara kita dan negeri kita maka ia mesti ada konektiviti antara tiga pihak iaitu pekerja, majikan, dan kerajaan bekerja dalam satu pasukan, macam Ngap Sayot.
"Dan semangat Ngap Sayot itulah yang harus mengangkat pembangunan di negeri Sarawak," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Sarawak di Hikmah Exchange, di sini pada Ahad.
Tambah beliau, Sarawak memiliki keistimewaan dalam sistem perundangan buruh melalui Ordinan Buruh Sarawak (SLO) yang wujud hasil daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain Akta Kerja di peringkat persekutuan.
"Kadang-kadang, butiran undang-undang ini hendaklah kita teliti dengan baik lebih-lebih lagi SLO kerana kita mesti mempertahankan hak pekerja Sarawak di bawah ordinan tersebut. Kalau kita serah sahaja, mungkin ada hak kita terhakis," jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menyesuaikan undang-undang buruh tempatan dengan piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Labour Organization (ILO), tanpa mengabaikan keunikan perundangan Sarawak.
Dalam sidang media selepas itu, beliau memaklumkan bahawa proses permohonan permit kerja untuk tenaga kerja luar di Sarawak telah dipercepatkan secara ketara melalui pelaksanaan sistem Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU), selari dengan penggunaan teknologi digital dan perkongsian data antara agensi kerajaan.
"Sebelum ini, proses permohonan tersebut biasanya mengambil masa sekitar 190 hari, atau sehingga 8 bulan. Namun kali ini, kita telah berjaya mengurangkan tempoh itu kepada 60 hari, dan kita mensasarkan untuk mengurangkannya lagi kepada 30 hari," katanya.
Pendekatan tiga segi yang mantap serta kecekapan sistem pengurusan buruh dijangka terus menyokong agenda pembangunan Sarawak sebagai sebuah negeri maju dan inklusif.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, barisan Timbalan Menteri negeri, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS