LUNDU: Kemudahan sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bakal dinaik taraf apabila sejumlah RM2.8 juta diumumkan untuk projek naik taraf di dua lokasi utama menerusi inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, RM1.8 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf Gelanggang Serbaguna Kampung Serayan Hulu, manakala Padang Bola Sepak Kampung Keranji pula akan dinaik taraf dengan anggaran peruntukan RM1 juta.
“Kedua-dua projek ini adalah inisiatif untuk mewujudkan pusat sukan bagi kawasan Opar di Lundu, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat serta pembangunan bakat sukan tempatan,” katanya semasa merasmikan Program CSR Zon 9 Seragan di Kampung Serayan Hulu pada Sabtu.
Menyentuh perkembangan lain, Billy turut memaklumkan bahawa beberapa projek pembangunan lain juga sedang dirancang, termasuk projek penurapan jalan rumah ke rumah dari Serayan Hulu ke Bagak Fasa 2* yang kini dalam peringkat perancangan.
Beliau turut menekankan kepentingan pengisian program seperti ceramah kesedaran oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lundu agar masyarakat lebih peka terhadap keselamatan sosial dan kesihatan.
Dalam pada itu, Billy turut meluangkan masa menghadiri Program CSR Zon 5 Titiakar yang diadakan di Gereja Holy Name, Kampung Sedemak, di mana beliau menyerahkan bakul makanan kepada 10 warga emas dari Kampung Sedemak dan Jampari sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah wakil Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Jefferiyo Kitok. -EDISI UKAS