Billy Sujang Salur RM20,000 Bantu Pembangunan SK St Teresa Stenggang

Disiarkan pada 18 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) St Teresa Stenggang sempena Kejohanan Sukan Tahunannya yang berlangsung di Kampung Stenggang, pada Sabtu.

Peruntukan tersebut melibatkan agihan sebanyak RM10,000 masing-masing kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurusan Sekolah, bertujuan memperkasakan pentadbiran dan aktiviti pembangunan murid.

“Sebagai salah sebuah sekolah mubaligh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, SK St Teresa tidak menerima pembiayaan penuh daripada kerajaan.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu agar keperluan sekolah ini dapat terus dipenuhi,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan ringkas di majlis tersebut.

Billy dalam pada itu turut menzahirkan rasa sukacita atas jemputan pihak sekolah yang saban tahun mengundang beliau untuk bersama-sama memeriahkan kejohanan sukan tahunan, yang menjadi platform penting dalam pembangunan sahsiah dan fizikal pelajar.

Beliau turut menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang sukan secara lebih serius dan menjadikan tokoh sukan seperti Watson Nyambek, legenda pecut negara yang digelar "The Flying Dayak", sebagai inspirasi.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Guru Besar SK St Teresa Stenggang, Desmond Ikal; Ketua Kaum Kampung Stenggang, Gary Nosem; Ketua Kaum Kampung Pidilam, Marcus Ranyei; dan Ketua Kaum Kampung Sepadah, Anthony Jirang. -EDISI UKAS