KUCHING: Sarawak mencatatkan RM22.8 bilion dalam pelaburan yang diluluskan dalam perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama pada tahun 2023.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, daripada jumlah tersebut, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan 65.8 peratus atau RM15 bilion.
“Manakala, Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyumbangkan 34.2 peratus atau RM7.8 bilion yang melibatkan 339 projek dan secara tidak langsung mewujudkan sebanyak 4,500 pekerjaan.
“Selain itu, sektor pembuatan menyumbang bahagian pelaburan tertinggi pada 40.3 peratus atau RM9.2 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan
“Ini diikuti oleh sektor perkhidmatan pada 38.6 peratus atau RM8.8 bilion dan sektor utama di 21.1 peratus atau RM4.8 bilion,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu berkata, pada tahun 2023, sektor pembuatan menyumbang 27.7 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak, mewujudkan 4,200 peluang pekerjaan.
Menurutnya, pelaburan yang diluluskan adalah terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berjumlah RM3.4 bilion, RM2.6 bilion bagi logam asas dan RM1.3 bilion dalam produk kimia.
“Bagi suku pertama tahun 2024, sektor pembuatan merekodkan pelaburan bernilai RM2.4 bilion untuk 30 projek.
“Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan terutamanya dalam produk kimia yang menjana RM1.7 bilion, produk logam asas berjumlah RM436 juta dan produk mineral bukan logam sebanyak RM143 juta,” ujarnya. -EDISI UKAS