KUCHING: Festival Gastronomi Sarawak Nyamai 2025 menjadi landasan penting dalam menyokong aspirasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan hijau dan mampan menjelang tahun 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kejayaan penganjuran festival edisi ketiga ini bukan sahaja dilihat dari aspek kesinambungan pelaksanaannya, tetapi juga dari segi usaha berterusan memperkenalkan elemen kreativiti dan penyertaan pelbagai pihak dalam memperkasa sektor pelancongan tempatan.
“Penglibatan kumpulan peserta yang berbeza pada setiap penganjuran membolehkan pertukaran idea yang lebih segar serta penghasilan kaedah baharu yang berdaya saing dan berpotensi dijadikan produk lestari,” katanya semasa sidang media Festival Gastronomi Sarawak Nyamai bersempena Hari Sarawak 2025 di Hotel Telang Usan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menekankan kepentingan untuk tidak hanya menumpukan kepada satu kelompok industri sahaja, sebaliknya melibatkan pelbagai sektor bagi memperluaskan impak program.
“Kita tidak mahu lihat hanya orang yang sama, khususnya dari industri makanan sahaja. Kita perlu bawa masuk lebih ramai daripada pelbagai sektor supaya mereka juga nampak keperluan untuk turut serta,” katanya.
Tambah beliau lagi, penekanan terhadap penjagaan alam sekitar juga diberi keutamaan melalui penggunaan bahan semula jadi seperti buluh dan bahan hijau lain sebagai contoh inovasi tempatan yang mesra alam.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy turut menyarankan supaya pendekatan pelancongan lestari diperkukuhkan dengan kerjasama antara pelbagai pihak yang mampu menyumbang idea baharu dan membangunkan produk mampan berasaskan sumber tempatan.
Festival Gastronomi Sarawak Nyamai 2025 merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam mempromosi keunikan gastronomi Sarawak yang kaya dengan elemen budaya, alam semula jadi dan inovasi tempatan sejajar Pelan Strategik Pembangunan Mampan Sarawak 2030.-EDISI UKAS