TANJUNG MANIS: Penduduk di sini kini boleh mengukir senyuman gembira apabila Lapangan Terbang Tanjung Manis akan dinaik taraf melibatkan pembinaan terminal baharu, pemanjangan landasan, menara kawalan trafik udara serta kemudahan imigresen, kastam dan keselamatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang ini dibuat bagi membolehkan pesawat jenis ATR72 mendarat dan berlepas memandangkan sebelum ini lapangan terbang terbabit hanya menerima pesawat ‘twin otter’.
“Sebab ini, saya dalam Kerajaan Sarawak telah berbincang dan kita akan melabur untuk membesarkan lapangan terbang ini, dengan anggaran peruntukan berjumlah RM327 juta.
“Dana tersebut tidak termasuk untuk kita membina padang golf memandangkan buat masa ini, untuk kita mendapatkan pembangunnya, masih belum menentu dan maka itu Kerajaan Sarawak ‘masuk’ dahulu untuk membinanya dan kemudian melantik orang untuk mengurusnya manakala hotel yang kita bina akan bersifat usaha sama.
“Ini akan banyak memberi manfaat kepada penduduk tempatan selain dapat menikmati kemudahan yang disediakan dari sudut kemudahan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis, yang berlangsung di Dewan Industri Kecil Sederhana, di sini, pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, lapangan terbang ini akan berpotensi diperbesarkan lagi pada masa hadapan, sekiranya jumlah ketibaan pesawat meningkat, sekaligus membolehkan ia menerima ketibaan pesawat ‘airbus’.
Hal ini kerana ujarnya, pelbagai pembangunan infrastruktur dan tarikan sedang dirancang di Tanjung Manis, termasuklah resort seluas 568 ekar berhampiran Pantai Belawai.
“Kita simpan sebahagian di belakangnya dahulu, kerana sekiranya terlalu banyak orang yang datang ke Tanjung Manis, maka kita akan panjangkan lagi supaya lapangan terbang ini dapat menerima pesawat ‘airbus’,” ujar beliau lagi.
Difahamkan, anggaran kos projek naik taraf ini adalah antara RM300 juta hingga RM800 juta, tertakluk kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan dengan peruntukan RM5 juta kepada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).
Selain itu, ketika ditemui pemberita selepas lawatan beliau ke Terminal Pengedaran Innocement Sdn Bhd di Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa syarikat berkenaan akan membuka satu lagi kilang pengisaran simen di sini, ekoran permintaan daripada negara Vietnam yang mencecah 8500 tan simen.
Jelas beliau, perkara ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meluaskan lagi jenis industri di Tanjung Manis.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol,,Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua-Ketua Jabatan dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS