Jambatan Batang Rajang Dijenamakan Semula Sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang

Posted on 17 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Jambatan Batang Rajang kini secara rasmi dikenali sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman sempena majlis perasmiannya yang berlangsung pada Sabtu.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penjenamaan semula jambatan tersebut merupakan penghargaan terhadap jasa dan legasi Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang sebagai seorang negarawan unggul yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

“Dengan penuh sukacita, saya mengumumkan bahawa Jambatan Batang Rajang kini dinamakan sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman, bagi mengenang jasa besar beliau kepada Sarawak,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian tersebut.

Majlis perasmian jambatan itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang amat dikenang atas sumbangan beliau dalam pembangunan wilayah tengah Sarawak serta peranannya dalam memperkukuh asas ekonomi negeri.

“Sebagai anak jati Sarawak, legasi kepimpinan beliau kekal terpahat dalam sejarah negeri ini. Penamaan semula jambatan ini adalah satu penghormatan terhadap perjuangan beliau dalam bidang politik dan pembangunan negeri,” tambah beliau.

Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang pernah menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua dari tahun 1969 hingga 1977.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris; ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan lain. –EDISI UKAS