Jambatan Baharu Hubungkan Tanah Putih Ke Parit Bugis Akan Dibina

Posted on 17 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Sebuah jambatan baharu yang merentasi Batang Rajang dari Tanah Putih ke Parit Bugis di sini akan dibina bagi menyokong pembangunan semula sektor pertanian dan pembinaan agropark moden di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jambatan tersebut sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar dan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Susulan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan aksesibiliti ini kepada penduduk, termasuklah menaik taraf jalan ke agropark itu nanti.

a “Dalam mesyuarat yang lalu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh memberitahu saya bahawa jalan menuju ke agropark masih lagi jalan kebun, oleh itu kita akan menaik taraf jalan berkenaan kerana ianya adalah agropark, kebun moden maka jalannya juga perlulah moden.

“Jadi, kita telah membuat keputusan untuk menaik taraf jalan ke kawasan agropark, dan ini bermakna jambatan ke Parit Bugis itu termasuk juga, memandangkan ianya berdekatan dengan jalan ini nanti,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi ke Jalan Sibu di sini, pada Sabtu.

Difahamkan, kawasan tersebut dahulunya merupakan pusat kegiatan pertanian tradisional dan kini telah dikenal pasti sebagai sebuah lokasi strategik untuk pembangunan sebuah agropark.

Pada masa ini, kawasan ini masih mengeluarkan hasil pertanian, sekaligus menunjukkan potensinya untuk dibangunkan secara lebih terancang dan moden melalui produk agropark.

Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak turut memaklumkan dua lagi projek sedang dipertimbangkan, iaitu menaik taraf jalan Bintangor–Sarikei dan pembinaan jalan raya dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo.

“Bagi jalan Bintangor ke Sarikei, kita akan mencari sumber dana, sama ada menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) atau melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

“Sementara itu, projek jalan dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo juga akan dilaksanakan. Walaupun keseluruhan projek ini melibatkan kos yang besar, namun dengan kestabilan politik dan perpaduan rakyat, kita dapat merealisasikannya,” katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Len Talif mengemukakan permohonan menaik taraf jalan Bintangor–Sarikei sepanjang 14 kilometer daripada standard JKR U3 ke U5, serta pembinaan jalan JKR U3 sepanjang 11 kilometer dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris; ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan lain. –EDISI UKAS

#UKASnews