DEBAK: Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021) menjadi bukti nyata usaha kerajaan pusat dalam menangani isu fasiliti dan infrastruktur daif di sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan Projek Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, Debak, Betong membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa ekosistem pendidikan melalui penyediaan infrastruktur yang moden dan kondusif, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, projek tersebut disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak.
“Projek bernilai RM10.15 juta ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula pada 21 Mac 2023 melalui kaedah ‘Reka dan Bina’.
“Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pula telah dikeluarkan pada 4 Mac 2025,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021): Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di SMK Saribas, Debak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai skop projek tersebut, beliau menjelaskan bahawa ia melibatkan pembinaan satu unit dewan tertutup, dua bilik darjah baharu, satu bilik pendidikan seni visual serta dua unit rumah guru (Kelas F).
“Skop projek ini turut merangkumi kerja-kerja merobohkan Blok SAGA dan sebuah blok kuarters lama bagi memberi ruang kepada pembinaan struktur baharu yang lebih moden dan tersusun,” jelasnya.
Tambah beliau, projek ini turut mengadaptasi teknologi Building Information Modelling (BIM) serta Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam kerja pembinaan.
“Reka bentuk projek ini berteraskan pendekatan ESG – Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus – yang bukan sahaja memenuhi keperluan pendidikan, tetapi juga mampan, berdaya tahan dan inklusif, termasuk mesra Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Selain itu, perancangan ruang turut diberi perhatian dengan penekanan kepada aspek keselesaan, susun atur yang ergonomik, mesra alam sekitar, pencahayaan semula jadi dan sistem pengudaraan yang baik serta mudah diselenggara.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam. – EDISI UKAS