MARUDI: Saracarbon telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Ternakan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar serta memperkenalkan konsep ekonomi hijau berasaskan projek karbon kepada komuniti tempatan.
Majlis yang diadakan ini menandakan permulaan kepada pelaksanaan projek karbon Saracarbon yang turut menjadikan aktiviti penternakan sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi mampan di kawasan luar bandar.
Antara objektif utama program ini ialah menyediakan bantuan awal ternakan sebagai galakan keusahawanan, membuka peluang pekerjaan kepada anak muda setempat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekonomi hijau.
Sebanyak 36 penternak dari tiga kampung di kawasan Marudi telah menerima bantuan ternakan berupa anak ayam, anak itik dan anak khinzir yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawakt Gala pada Jumaat.
Penerima bantuan turut akan menerima pemantauan dan bimbingan berterusan bagi memastikan keberhasilan projek ternakan yang dijalankan.
Program ini turut menyediakan latihan secara langsung kepada para penerima serta menyokong pertumbuhan ekonomi isi rumah melalui penjualan hasil ternakan.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat Gala ketika berucap memuji usaha syarikat yang selari dengan dasar pembangunan mampan kerajaan dan menyeru lebih ramai penduduk agar menyertai program ini.
“Usaha seperti ini bukan sahaja memanfaatkan alam sekitar, malah memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
"Bantuan ternakan yang diberikan hari ini membuktikan kesungguhan Saracarbon dalam menyahut seruan kerajaan,” katanya.
Datuk Gerawat turut menyambut baik inisiatif Saracarbon dalam memasarkan hasil kraftangan dan produk tradisional penduduk tempatan, sekaligus membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada komuniti luar bandar. -EDISI UKAS