Makan Malam Mantar Gawai Dayak 2025 Mukah Meriah, Kukuh Perpaduan

Posted on 17 May 2025
Source of News: UKAS


MUKAH: Majlis Malam Mantar Gawai Dayak 2025 anjuran Sarawak Dayak National Union (SDNU) Cawangan Mukah berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat perpaduan di Kingwood Resort Mukah pada Jumaat.

Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah Hajar Taib yang turut tampil mengenakan busana tradisional lengkap kaum Iban atau dikenali sebagai ngepan Iban, sebagai tanda penghormatan terhadap budaya dan warisan masyarakat Dayak.

Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran majlis tersebut, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada pihak penganjur.

Sumbangan ini sekaligus memperlihatkan komitmen berterusan beliau dalam memartabatkan kebudayaan tempatan serta menyokong usaha masyarakat Dayak dalam mengekalkan identiti budaya mereka.

Majlis dimulakan dengan upacara Miring Gawai, disusuli persembahan kebudayaan seperti Ngajat Ngelalu Pengabang oleh Kelab Ngajat Indu Bergerik, persembahan Kuntau oleh kumpulan Tujuh Helang Menyambar Lautan, Ngerabah ke Ranyai serta Nyeradak Aie Pengayu yang memukau para hadirin.

Selain itu, ia turut diselitkan dengan penyampaian insentif pendidikan daripada pihak SDNU kepada 19 orang pelajar, sebagai galakan kepada kecemerlangan dalam pendidikan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip serta pemimpin-pemimpin komuniti setempat daripada pelbagai agama dan kaum, memperlihatkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus terjalin di daerah Mukah.-EDISI UKAS