Majlis Penghargaan JKKK Daerah Betong 2025 Julung Kali Diadakan

Posted on 17 May 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Seramai 250 orang hadir memeriahkan Majlis Penghargaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Betong Tahun 2025 yang diadakan buat julung kalinya di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong.

Majlis anjuran Pejabat Daerah Betong itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu.

Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting JKKK dalam pembangunan komuniti dan menyeru semua kampung agar sentiasa mengemas kini profil penduduk bagi merancang pembangunan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut mengumumkan sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 122 JKKK terlibat dalam menggalakkan pemerkasaan penggunaan teknologi digital untuk membantu penduduk kampung.

Majlis turut menyampaikan Anugerah Penghargaan JKKK bagi tahun 2024, kepada Kampung Batu Hulu, Betong yang dipilih sebagai penerima Anugerah JKKK Contoh.-EDISI UKAS