27 Ahli Majlis Daerah Matu Dan Daro Angkat Sumpah

Disiarkan pada 17 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MATU: Seramai 27 orang Ahli Majlis bersama seorang Pengerusi Majlis Daerah Matu dan Daro telah mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Matu dan Daro pada Jumaat.

Majlis angkat sumpah ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Michael Tiang Ming Tee, yang turut menyampaikan amanat penting kepada semua barisan kepimpinan baharu agar sentiasa mengutamakan integriti, keikhlasan dan komitmen dalam menjalankan tugas.

“Setiap ahli perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama.

"Kita harus bekerja dalam satu pasukan, bergerak seiring dalam membawa pembangunan yang mampan demi Sarawak yang terus maju dan makmur,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut pada Jumaat.

Majlis yang dihadiri lebih 50 orang tetamu ini bukan sahaja menandakan permulaan penggal baharu kepimpinan daerah, malah menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan dan membincangkan hala tuju pembangunan setempat.

Majlis ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh struktur pentadbiran tempatan dan memperbaharui ikrar perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Igan, Dewan Undangan Negeri(DUN) Jemoreng dan sekitar Pekan Matu.

Dengan pelantikan rasmi ini, diharapkan Ahli-ahli Majlis Daerah Matu dan Daro dapat memikul amanah yang diberi dengan penuh dedikasi serta menjadi pemangkin kepada kemajuan yang berterusan di daerah ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Matu dan Daro itu turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab; Pengerusi Majlis Daerah Matu, Ismail Kasah; Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro, Chiong Siew Ping dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Matu Daro, Rudi Suib.-EDISI UKAS