Falesya Curi Tumpuan, Dinobat Juara Talent Night Miss Tasik Biru 2025

Posted on 17 May 2025
Source of News: UKAS


BAU: Persembahan memukau oleh Falesya Harry menerusi tarian tradisional Bidayuh berjaya menobatkan beliau sebagai juara Talent Night Miss Tasik Biru 2025, sekali gus mencuri tumpuan pada malam kedua Pesta Tasik Biru yang berlangsung dengan meriah pada Jumaat.

Falesya yang mewakili warisan budaya Bidayuh menerusi gerak tari yang anggun dan bertenaga, berjaya menambat hati para juri serta penonton yang hadir.

Kemenangan beliau menyerlahkan keunikan seni tradisional tempatan dan menjadi inspirasi kepada peserta lain untuk terus mengekspresikan bakat masing-masing.

Sebanyak lapan persembahan dipertandingkan malam tersebut yang memperlihatkan pelbagai bakat dalam bentuk nyanyian, deklamasi sajak dan tarian.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh yang memberikan sokongan moral kepada para peserta di samping menyaksikan sendiri kreativiti serta potensi bakat anak muda tempatan.

Sementara itu, keputusan keseluruhan bagi gelaran Miss Tasik Biru 2025 masih belum diumumkan.

Orang ramai dijemput hadir ke malam kemuncak yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 untuk menyaksikan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai ratu Miss Tasik Biru edisi tahun ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi dan Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Derop. -EDISI UKAS