BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming telah mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Bintulu bersama wakil syarikat OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd bagi meninjau keadaan meja dan kerusi sekolah yang rosak akibat banjir baru-baru ini.
Lawatan tersebut bertujuan mengenal pasti keperluan semasa sekolah dan membincangkan potensi sumbangan daripada pihak korporat.
Dalam pada itu, OM Materials bersetuju menyumbang 500 set meja dan kerusi kepada SMK Bintulu sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Menurut Johnny Pang, sumbangan ini sedang melalui proses dokumentasi dan akan disalurkan dalam masa terdekat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada OM Materials atas keprihatinan mereka terhadap isu pendidikan di Bintulu.
“SMK Bintulu menempatkan lebih 3,400 pelajar dan kekurangan perabot telah beberapa kali dibangkitkan oleh pihak PIBG.
“Justeru, saya menyeru lebih banyak syarikat tampil membantu sekolah-sekolah yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik SMK Bintulu, Chiong Lee Sze; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Wan Ishak Wan Ahmad; serta Pengurus Pentadbiran Kanan OM Materials, Chieng King Tung.-EDISI UKAS