BINTULU: Arkitek Seni Kenyalang Sdn Bhd muncul sebagai pemenang utama Pertandingan Rekabentuk Taman Bandar Bintulu 2025 (BUP2025) menerusi projek “Project Confluence – Where Industrial Meets Nature” dalam satu majlis pengumuman rasmi di Wisma Bintulu pada Jumaat.
Majlis anjuran bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pertubuhan Akitek Malaysia Sarawak Chapter (PAMSC) itu dirasmikan oleh Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari.
Turut hadir, Pengerusi PAMSC Ar. Noraini Narodden dan Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah.
Pertandingan bertemakan “Sustainable Creative Design” ini melibatkan dua tapak utama iaitu Pantai Tanjung Batu dan Bintulu Waterfront.
Projek pemenang mengetengahkan gabungan identiti industri dan alam semula jadi melalui dua struktur ikonik yang bakal menjadi tarikan baharu ruang awam Bintulu.
Menurut BDA, kerja-kerja tender dijangka bermula suku akhir 2025 dan pembinaan fizikal pada awal 2026.
Pertandingan ini juga menyokong matlamat strategik menjadikan Bintulu sebagai “Friendly Industrial City” menjelang 2030.-EDISI UKAS