Jubni Sulong & Fasihah Arpa Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 2025

Posted on 16 May 2025
Source of News: UKAS


GEDONG: Jubni Sulong dari Asajaya dinobatkan sebagai Johan Kategori Qari sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, pada malam Jumaat.

Menerusi kemenangan tersebut, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi, hadiah iringan tajaan Baitulmal dan emas 0.5g.

Tempat kedua pula disandang oleh Muhammad Hafiez Shafie dari Samarahan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd. Nur Ikmal Kipli juga dari Asajaya.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM700 dan RM500 berserta trofi, hadiah iringan tajaan Baitulmal dan emas 0.5g.

Tiga peserta lain iaitu Ismawi Ibrahim dari Samarahan, Kamil Majeni dari Asajaya dan Ariq Mustaqim Wan Bujang dari Sebuyau menerima saguhati kategori Qari berupa wang tunai RM50 dan hadiah iringan tajaan Baitulmal setiap seorang.

Sementara itu, Fasihah Arpa, juga dari Asajaya, muncul sebagai Johan Kategori Qariah, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, hadiah iringan tajaan Baitulmal dan emas 0.5g.

Tempat kedua disandang oleh Siti Khadizah Hasan dari Gedong, manakala tempat ketiga diraih oleh Nadirah Khaliqah binti Kasturi dari Samarahan.

Mereka masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM700 dan RM500 berserta trofi, hadiah iringan tajaan Baitulmal dan emas 0.5g.

Tiga peserta lain yang menerima saguhati bagi kategori Qariah ialah Sharifah Rabiah Wan Muhamad dari Simunjan, Sofiah Seman dari Asajaya dan Norbasitah Bahar dari Gedong, masing-masing membawa pulang wang tunai RM150 dan hadiah iringan tajaan Baitulmal.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MINTRED, merangkap Wakil Khas ADUN N26 Gedong, Dato Sri Mohd. Naroden Majais.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah oleh kumpulan Sautun Nur dari Madarasah Tahfiz An-Nur Gedong.

Turut hadir ke majlis penangguhan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris; Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pegawai Agama Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, Bahrin Kawi; Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da'adi; Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang; Pemanca Daerah Gedong, Abang Ronnie Abang Sa'adeli; Pegawai Daerah dari Samarahan, Asajaya, Simunjan dan Sebuyau serta ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum dan ahli-ahli majlis dari Gedong dan Simunjan.-EDISI UKAS