MUKAH: Lawatan pengenalan selama 5 hari 4 malam (5H4M) yang melibatkan kerjasama Tourism Malaysia Brunei (TM Brunei) dan Sarawak Trade & Tourism Sdn Bhd Brunei telah membawa delegasi ejen pelancongan dan wakil media dari negara jiran itu menyelusuri keunikan budaya dan tradisi masyarakat Melanau di Mukah dan Oya pada Khamis.
Lawatan yang bermatlamat memperkenalkan produk pelancongan berasaskan warisan ini memberi peluang kepada peserta merasai sendiri keaslian budaya Melanau menerusi aktiviti lawatan ke beberapa lokasi bersejarah dan ikonik.
Antara destinasi utama yang dilawati ialah Muzium Sapan Puloh di Kampung Tellian Tengah, yang menempatkan pelbagai artifak asli masyarakat Melanau.
Di sini, peserta turut didedahkan tentang makna “Sapan” yang merujuk kepada rumah kecil di hadapan rumah utama (rumah ibu), manakala “Puloh” membawa maksud pulau.
Kampung tersebut turut dikenali dengan nama Kampung Puloh, Kampung Megow (hangus/terbakar) dan Kampung Tellian Tengah.
Delegasi turut dibawa menyaksikan Jerunai Puteri iaitu tiang pengebumian tradisional kaum Melanau serta melawat ke Lamin Dana, sebuah rumah tradisi yang kini berfungsi sebagai pusat pelancongan budaya.
Di Oya pula, peserta diberi peluang menyaksikan sendiri demonstrasi pembuatan makanan tradisional seperti linut, umai dan kuih sepit, selain berkunjung ke Galeri Warisan Melanau yang menghimpunkan pelbagai koleksi sejarah dan budaya komuniti tersebut.
Turut hadir semasa lawatan ialah Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Roshdi Abdul Ghani dan Pengarah Pemasaran Domestik dan ASEAN STB, Barbara Benjamin Atan.
Lawatan ini dijangka dapat memperkukuh jaringan kerjasama pelancongan antara Sarawak dan Brunei Darussalam, di samping memperluas promosi produk pelancongan berteraskan budaya kepada pasaran luar.-EDISI UKAS