KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha untuk mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh Sarawak, sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menyelaras serta memantau perkembangan dan cabaran yang dihadapi oleh setiap Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan setiap RDA dapat menangani isu yang timbul dengan lebih sistematik dan efektif.
"Jawatankuasa Khas ini melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi pembangunan wilayah dan pusat, termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan pelbagai kementerian serta jabatan berkaitan," katanya semasa lawatannya ke Pejabat Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).
Datuk Dr. Abdul Rahman juga telah menyampaikan pesanan Timbalan Premier Sarawak supaya kontraktor yang telah menerima Surat Lantikan (LOA) agar memulakan kerja-kerja dalam tempoh 30 hari dari tarikh LOA.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan kemajuan projek tidak terganggu dan berharap agar semua pihak memberikan kerjasama padu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek seperti yang dijadualkan.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan kerja beliau ke sembilan Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di seluruh Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 16 Mei.
Lawatan tersebut juga antara lain bertujuan untuk mengenali lebih dekat pegawai dan kakitangan agensi, menilai prestasi pelaksanaan projek, serta mengenal pasti isu dan cabaran yang timbul di peringkat pelaksanaan.
Sementara itu, dalam sesi taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat IRSDA, Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an, telah membentangkan peranan agensi tersebut dalam merancang dan menyelia projek pembangunan di kawasan seluas 2,426 kilometer persegi, yang merangkumi Daerah Samarahan, Asajaya, Simunjan, Sebuyau, Gedong, dan Daerah Kecil Sadong Jaya.
Setakat ini, IRSDA telah menyelia sebanyak 660 projek pembangunan, dengan pecahan berikut: 458 projek telah siap, 50 projek sedang dalam pembinaan, 127 projek dalam perancangan, manakala 27 projek berada dalam status "keep in view" (KIV) atau dibatalkan.
Projek-projek ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal, termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Jabatan Pertanian, serta pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Daerah Simunjan, dan Majlis Daerah Gedong.
Hadir sama dalam taklimat tersebut ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Sofia Gira, Penolong Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan (SIMU) Sarawak, Dayang Rozyliana Abang Nasrol, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Samarahan, Saribudin Katang, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Samarahan, Irwandee Reduan, Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Gustian Durani, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Setiausaha Majlis Daerah Gedong, Farrah Sofya Mohd Sharbini.-EDISI UKAS