PUSAKA Galak Penghasilan Produk Kayu Bernilai Tinggi Dan Mampan

Disiarkan pada 15 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menggalakkan penghasilan produk perkayuan bernilai tambah tinggi dan mampan.
 
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), PUSAKA telah menghasilkan ‘Engineered Wood Product Blueprint’ dan Polisi Pembangunan Industri Buluh Sarawak sebagai garis panduan dan hala tuju industri kayu kejuruteraan dan buluh di Sarawak.   
 
Menurutnya, pembangunan industri ini dijangka akan mentransformasikan lanskap industri perkayuan dan buluh di Sarawak.
 
“Ini dilaksanakan menerusi program penyelidikan dan pembangunan secara kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan, pengajian tinggi serta penglibatan langsung pihak industri perkayuan.
 
“Inisiatif R&D ini dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada ‘applied R&D’ ke arah pengkomersilan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
 
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menambah PUSAKA komited dalam melaksanakan inisiatif untuk membangunkan industri buluh di Sarawak.
 
Jelasnya, industri buluh di Sarawak masih lagi di peringkat awal.  
 
“Maka dengan adanya inisiatif yang dilaksanakan oleh PUSAKA, ianya dijangka dapat membantu meningkatkan pembangunan industri buluh di Sarawak agar berpotensi menghasilkan produk berasaskan buluh untuk pasaran domestik serta bersaing untuk menembusi pasaran global.
 
“Oleh yang demikian, PUSAKA telah menyasarkan 10,000 hektar kawasan untuk penanaman buluh menjelang 2030 dengan menggalakkan penglibatan usahasama pihak swasta dan juga komuniti,” ujar beliau.-EDISI UKAS