143 Lot Kediaman Kampung Koran Barie Akan Disukat Mulai September 2025

Posted on 16 May 2025
Source of News: UKAS


TEBEDU: Sebanyak 143 lot kediaman melibatkan keluasan 12.56 ekar di Kampung Koran Barie akan mula disukat pada September 2025 dengan kerja-kerja pengukuran dijangka selesai menjelang pertengahan Oktober 2025.

Proses pengukuran ini dilaksanakan di bawah kategori Kampung Tradisi dan merupakan inisiatif penting dalam usaha memberikan hak milik sah kepada penduduk kampung.

Permohonan bagi pengukuran ini telah diluluskan pada 2 Disember 2022, namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini selepas berjaya memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Sarawak.

Pengukuran akan dilakukan melalui kaedah Projek Dokumentasi Tanah oleh Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) sebelum dihantar ke Jabatan Tanah dan Survei Serian.

Tujuannya adalah untuk mengeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) yang memberikan hak milik kekal kepada pemilik dan setiap lot yang disukat tidak melebihi setengah ekar dan mesti mempunyai akses keluar masuk.

Dalam sesi dialog yang berlangsung pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus turut hadir dan menyempurnakan majlis.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif dokumentasi tanah NCR oleh DBNA telah banyak mempercepatkan proses penyukatan lot kediaman dan pertanian, di samping menyelesaikan isu sempadan serta hak milik antara ahli keluarga dan jiran.

Beliau turut menggesa semua penduduk Kampung Koran Barie agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang bantahan terhadap pengukuran harus dikemukakan secara bertulis kepada Jabatan Tanah dan Survei Serian serta Pejabat Daerah Tebedu untuk tindakan lanjut. -EDISI UKAS