Central Enterprise Rai 36 Tahun Operasi dengan ‘Grand Relaunch’ Di Betong

Posted on 16 May 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Central Enterprise, sebuah nama yang tidak asing dalam kalangan penduduk Betong, telah meraikan ulang tahun ke-36 penubuhannya dengan penuh meriah menerusi majlis ‘Central Enterprise Grand Relaunch: 36 Years Anniversary (1989-2025).

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu di sini pada Jumaat.

Dalam ucapannya, beliau memuji ketahanan dan pencapaian Central Enterprise yang telah bertapak dalam industri perniagaan sejak 1989.

“Tempoh 36 tahun dalam perniagaan adalah satu perjalanan yang panjang dan pasti penuh cabaran. Namun Central Enterprise membuktikan bahawa daya tahan dan kesungguhan mampu membawa kejayaan.

“Saya percaya pelancaran semula ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik dan kompetitif untuk syarikat ini, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Betong,” katanya.

Dato Gerald turut menzahirkan penghargaan terhadap pemilik Central Enterprise, Charlie Wong Kee Chong, yang bukan sahaja berjaya dalam bidang perniagaan, malah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya semasa pandemik COVID-19 menerusi peranannya dalam Persatuan Chung Hua Betong dan SABERKAS Cawangan Layar.

“Tokoh perniagaan seperti Charlie yang aktif menyumbang kepada masyarakat amat diperlukan dalam kesinambungan kepimpinan akar umbi ke arah kemakmuran bersama di Betong,” tambahnya.

Central Enterprise yang memulakan operasinya sebagai kedai alat tulis kini berkembang menjadi pembekal pelbagai keperluan termasuk peralatan pejabat, rumah, multimedia serta perkhidmatan percetakan seperti banner, papan tanda, cenderamata dan pakaian.-EDISI UKAS