KUCHING: Guru merupakan tonggak utama sistem pendidikan negara dan menjadi batu asas kepada kemajuan serta kemakmuran negeri dan negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengorbanan dan peranan besar para pendidik tidak dapat disangkal lagi sebagai pembentuk asas ilmu dan nilai dalam diri generasi muda, sekali gus mencorakkan masa depan Malaysia.
“Tanpa mereka, anak-anak kita tidak akan memperolehi ilmu, tidak berpandangan jauh, tidak mampu menempuh cabaran masakini dan mungkin tidak berupaya menempuh cabaran masa depan yang semakin mencabar ini,” ujarnya dalam perutusan Hari Guru 2025 pada Jumaat.
Justeru, beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru ke-54 kepada semua guru di seluruh negara, khususnya di Sarawak.
Mengulas tema sambutan tahun ini, ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, beliau menekankan betapa pentingnya peranan guru dalam transformasi pendidikan berasaskan inovasi dan pendekatan holistik yang selari dengan keperluan abad ke-21.
Beliau juga menyeru agar penghargaan kepada guru dizahirkan secara ikhlas melalui pelbagai cara seperti ucapan, kad digital atau majlis khas yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Dalam masa sama, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut mengangkat semangat guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman dan luar bandar, yang menurutnya tetap komited mendidik anak bangsa walaupun berdepan pelbagai kekurangan.
“Seperti pekerja-pekerja di sektor lain, guru-guru juga menghadapi cabaran di tempat bertugas di mana ada yang mengajar di sekolah-sekolah yang pembangunan infrastruktur masih kekurangan seperti jalan yang kurang baik, masalah bekalan air dan elektrik, mengajar di kawasan pedalaman dan jauh daripada keluarga tersayang.
“Namun, semua cabaran ini tidak menghampa dan mematahkan semangat para pendidik kita kerana mereka amat komited dan berdedikasi untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang terbaik di mana sahaja mereka berada,” ujar beliau lagi.
Dalam hal ini, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Kementerian Pendidikan akan terus memperjuangkan kebajikan guru dan menyediakan kemudahan yang sewajarnya bagi menyokong tugas mereka.
Mengakhiri perutusannya, beliau menyeru seluruh rakyat agar tidak melupakan jasa guru yang telah banyak berkorban demi kemajuan bersama.
“Jasa guru umpama matahari yang menyinari tanpa mengira waktu dan penat lelah. Teruslah kita mendoakan kesejahteraan mereka. Terima kasih, cikgu," katanya. -EDISI UKAS