GEDONG: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi telah membuka tirainya malam tadi di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong.
Seramai sepuluh orang peserta terdiri daripada lima qari dan lima qariah telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam majlis pembukaan yang turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Turut hadir sama ialah Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da'adi; Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang; Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang; Pemanca Daerah Gedong, Abang Ronnie Abang Sa'adeli, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Gedong serta Ahli-Ahli Majlis Daerah Gedong dan Simunjan sekali gus menandakan sokongan padu pihak kepimpinan tempatan terhadap pembangunan syiar Islam dan pembudayaan Al-Quran di peringkat akar umbi.
Majlis Tilawah Al-Quran Bahagian Samarahan pada tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 12 orang peserta mewakili daerah-daerah di sekitar Bahagian Samarahan.
Penganjuran selama dua hari bermula 15 hingga 16 Mei ini bukan sahaja bertujuan untuk memilih wakil ke peringkat bahagian, malah menjadi medan memperkukuh ukhwah, memartabatkan bacaan Al-Quran yang bertajwid dan bertarannum serta menanam kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain bacaan tilawah, para hadirin turut disajikan dengan persembahan Zikir Marhaban yang dipersembahkan oleh Kumpulan Dikirnita Simunjan bagi memeriahkan suasana dan menyemarakkan roh keislaman dalam majlis berkenaan.
Majlis turut dimeriahkan dengan pameran daripada beberapa agensi dan institusi antaranya Kementerian Dalam Negeri, Tabung Baitumal, PERKESO, Demak Travel, Zurich Takaful serta Zunaz Travel.
Majlis penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan ini dijadualkan berlangsung pada malam ini dan akan disempurnakan oleh wakil khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd. Naroden Majais.
Pada majlis tersebut, beliau akan menyampaikan hadiah kepada Johan Qari dan Qariah sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan bacaan dan penghayatan Al-Quran.
Penganjuran majlis seumpama ini diharapkan dapat terus menyemai semangat cintakan Al-Quran dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan dan membentuk generasi yang celik serta mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.-EDISI UKAS