Sarawak Pacu Pendidikan Masa Depan

Disiarkan pada 16 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa pendidikan adalah usaha kolektif yang melangkaui tanggungjawab guru semata-mata, demi membentuk generasi berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan global.

Dalam ucapannya sempena Majlis Makan Malam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di sini pada Khamis, beliau berkata, pendidikan ini tidak ada garis batasan.

Jelasnya, ia adalah satu tanggungjawab untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang terkini selain menegaskan keperluan pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris.

“Keperluan menguasai bahasa Inggeris bukan kerana budaya, tetapi sebagai kunci kepada ilmu sains dan teknologi menerusi pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di Sarawak.

“Kita tidak mendewakan bahasa Inggeris, tetapi kita ambil bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu,” katanya, sambil menekankan penglibatan Sarawak dalam bidang seperti hidrogen, AI dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau juga berkongsi komitmen kerajaan negeri membuka akses pendidikan bertaraf antarabangsa menerusi enam sekolah antarabangsa tanpa yuran bagi pelajar cemerlang, termasuk anak nelayan dan petani.

“Kita mahu pelajar kita fasih dalam pelbagai bidang. Ini bukan kerana tidak yakin dengan sekolah nasional, tetapi kerana kita mahukan keseimbangan,” jelasnya.

Turut membanggakan ialah kejayaan seorang anak Sarawak mencipta cip kuasa (power chip) pertama di dunia yang kini menunggu pengiktirafan paten antarabangsa.

Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK), Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Timbalan Menteri MEITD (Pendidikan Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr. Annuar Rapa’ee.-EDISI UKAS