Bengkel Penyediaan Senarai Projek RTP Bahagian Limbang Bagi Tahun 2026 Berlangsung Lancar

Posted on 15 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Bengkel Penyediaan Senarai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bahagian Limbang bagi Tahun 2026 telah bermula dengan penyertaan seramai 40 orang peserta terdiri daripada pelbagai agensi pelaksana dan wakil-wakil komuniti bertempat di City Rise Hotel, Miri pada Khamis.

Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang merasmikan bengkel tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menzahirkan harapan agar bengkel ini menjadi medan terbaik untuk menyusun perancangan projek-projek pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Kerjasama erat antara semua agensi amat penting bagi memastikan perancangan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara tersusun dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat di akar umbi,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai dalam ucapannya menekankan kepentingan perincian skop kerja bagi setiap cadangan projek yang dibentangkan.

Beliau menjelaskan bahawa skop yang jelas akan memudahkan penyediaan anggaran kos dan dokumen teknikal seperti Bill of Quantity (BQ), serta mengelakkan isu seperti Notice of Change (NOC) yang boleh mengakibatkan kelewatan atau kos tambahan semasa pelaksanaan projek.

Beliau turut menegaskan bahawa projek RTP yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik akan memberi impak besar kepada masyarakat setempat, termasuk dalam meningkatkan sosioekonomi, menyediakan prasarana asas, serta mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Bengkel ini bukan sekadar menyenaraikan projek, tetapi menekankan keperluan agar setiap cadangan bersifat praktikal, relevan dan mampu dilaksanakan.

Penyertaan aktif daripada semua agensi dan pemimpin komuniti dilihat sebagai kunci kejayaan dalam memastikan senarai projek RTP Tahun 2026 benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta menyokong aspirasi Sarawak ke arah negeri maju dan sejahtera.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; serta wakil-wakil agensi seperti JKR, DID, Majlis Daerah, JBALB, Pejabat Tanah dan Survei, serta EPU dan SIMU.-EDISI UKAS