MIRI: Fasa pertama projek mendalamkan sungai di Delta Batang Baram (Northern Bund) dijangka siap pada Mac 2027.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi, projek yang bermula sejak Julai 2024 sedang rancak dilaksanakan dan berada lebih awal daripada jadual.
“Ini satu pencapaian membanggakan hasil kerjasama erat antara pihak Lembaga Pelabuhan Miri, perunding, kontraktor serta semua pihak berkepentingan.
“Projek ini akan memberi impak besar kepada keupayaan pelabuhan, pertumbuhan perdagangan dan peluang sosioekonomi di kawasan Miri dan sekitarnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis ritual pelbagai agama di Delta Batang Baram (Northern Bund) pada Khamis bagi menandakan permulaan kerja-kerja mendalamkan sungai dan kerja-kerja berkaitan yang dilaksanakan oleh Lembaga Pelabuhan Miri (MPA).
Katanya, projek mendalamkan sungai ini merupakan salah satu inisiatif strategik kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kecekapan operasi Pelabuhan Miri serta merangsang pembangunan ekonomi di utara negeri.
Dalam ucapannya juga, Dato Majang menegaskan bahawa upacara ini bukan sekadar adat semata-mata, tetapi mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
“Upacara hari ini memperlihatkan keindahan kepelbagaian agama dan budaya di Sarawak.
“Doa Selamat oleh komuniti Islam, pemberkatan Kristian, ritual Taoisme dan Upacara Miring oleh komuniti Dayak bukan sekadar tradisi, malah satu manifestasi kepercayaan kita terhadap kuasa doa dan restu Tuhan dalam setiap projek pembangunan,” katanya.
Kesemua acara disusuli dengan upacara ritual keagamaan yang melibatkan empat tradisi utama iaitu Islam, Kristian, Taoisme dan adat Dayak sebagai simbol permulaan yang diberkati.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; Wakil kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Cr. Toh Kah Shiong; Pengurus Besar MPA, Serawa Budol; tokoh-tokoh agama termasuk Dato Dr. Nuing Jeluing (Upacara Miring), Reverend Dato Dr. Justin Wan (doa pemberkatan Kristian), dan Imam Ismawi Hashim (Doa Selamat Islam).-EDISI UKAS