BINTULU: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Tourism Malaysia menerusi pejabatnya di Brunei Darussalam mengukuhkan kerjasama strategik bagi memperhebat promosi pelancongan Sarawak ke pasaran negara tersebut yang menumpukan destinasi kurang diterokai seperti Bintulu, Mukah dan Sibu.
Kerjasama itu dimulakan menerusi program 5D4N Familiarisation Trip dari 14 hingga 17 Mei yang melibatkan 14 ejen pelancongan dari Brunei Darussalam.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Roshdi Abdul Ghani berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif STB dalam penganjuran sesi B2B dan fam trip ini.
“Ia bertujuan menggalakkan hubungan strategik antara penggiat pelancongan dua negara serta merangka pakej pelancongan baharu ke Sarawak,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis sambutan rasmi di New World Hotel, Bintulu pada Selasa.
Pengarah Pemasaran ASEAN dan Domestik STB, Barbara Benjamin Atan pula berkata, pemilihan destinasi seperti Bintulu, Mukah dan Sibu adalah kerana potensinya yang belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong Brunei Darussalam.
“Lazimnya pelancong Brunei hanya memilih Miri atau Kuching.
“Namun kami ingin tonjolkan bahawa destinasi lain juga mudah diakses dan menawarkan pengalaman unik seperti aktiviti memancing udang, lawatan ke rumah panjang serta kunjungan ke pasar tempatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa promosi destinasi mesra-Muslim kini menjadi fokus utama sejajar dengan keperluan pelancong Brunei Darussalam dan ASEAN.
“Kami mahu pelancong tahu bahawa Sarawak bukan sahaja menawarkan makanan halal, tetapi juga kemudahan ibadah yang lengkap dan bersih,” tambahnya.
Dalam lawatan ini, dua pempengaruh media sosial dari Brunei Darussalam yang popular di TikTok dan Instagram turut dijemput bagi membuat liputan perjalanan serta mempromosikan destinasi Sarawak di platform masing-masing.
Tambah Roshdi, Tourism Malaysia juga memberi tumpuan kepada promosi “permata tersembunyi” seperti Sibu yang akan menganjurkan perlumbaan perahu naga dan bot laju pada bulan Julai dengan penyertaan dari Brunei Darussalam.
Selain itu, aspek pelancongan perubatan turut disentuh sebagai peluang baharu, khususnya di Miri yang bersempadan dengan negara berkenaan.
“Hospital seperti KPJ dan Borneo Medical Centre memiliki potensi besar untuk menarik pesakit dari Brunei.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bagi tujuan ini,” jelasnya.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama ini dalam usaha mencapai sasaran lima juta pelawat ke Sarawak pada tahun ini.
Sebagai rekod, Brunei Darussalam merupakan penyumbang kelima tertinggi kepada ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2024 dengan lebih 1.14 juta pelawat di mana peningkatan hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.-EDISI UKAS