Gawai Dayak Perkukuh Perpaduan & Kelestarian

Posted on 15 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Sambutan Gawai Dayak bukan sekadar memperingati warisan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan dan kelestarian dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kemeriahan majlis yang mencerminkan keharmonian komuniti setempat.

“Kehadiran anda semua mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi teras keharmonian kita di Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak di sini, pada Rabu.

Ahli Parlimen Sarikei itu turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kepimpinan berwawasan yang telah merealisasikan pelbagai projek pembangunan, termasuk Projek Jambatan Batang Rajang yang kini menjadi penghubung utama kepada penduduk Sarikei dan kawasan sekitarnya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan peruntukan Projek Pintu kepada 289 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarikei dan Meradong sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan di peringkat akar umbi.

Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak dan berharap sambutan kali ini membawa kebahagiaan, kesihatan serta terus memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS