SEBUYAU: Dalam usaha memperkasa sistem pendidikan luar bandar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melakukan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Sebangan, sekali gus menzahirkan komitmen tinggi KPM untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara saksama di seluruh negara.
Lawatan ini bukan sahaja berfungsi sebagai tinjauan terhadap kemudahan dan keperluan infrastruktur sekolah luar bandar, malah memperlihatkan pendekatan turun padang yang proaktif oleh Kementerian dalam memastikan suara guru dan pelajar di pedalaman turut diberi perhatian serius.
Dalam lawatan berkenaan, pihak kementerian secara langsung dapat melihat keadaan bangunan sekolah yang uzur dan memerlukan pembinaan semula, satu isu kritikal yang turut diketengahkan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli untuk tindakan segera di peringkat Dewan Rakyat.
Dalam suasana santai dan tanpa protokol rasmi, beliau menyampaikan penghargaan kepada tenaga pengajar sempena Sambutan Hari Guru 2025, sebagai pengiktirafan kepada dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.
Hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah yang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli; Pegawai Pendidikan Bahagian Samarahan, Shibni Saini dan Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh.
Sebelum itu, rombongan KPM turut mengadakan lawatan ke SMK Asajaya dan SK Jaie, Sadong Jaya.
Lawatan ini mencerminkan prinsip asas KPM yang menekankan bahawa setiap murid walau di mana berada berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif. -EDISI UKAS