BDDA Perlu Rancang Operasi, Penyelenggaraan Aset Siap Awal

Posted on 15 May 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) perlu merancang operasi dan penyelenggaraan aset yang bakal siap lebih awal agar setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kekal lestari dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, aspek penyelenggaraan merupakan faktor penting yang tidak boleh diabaikan dalam mana-mana pelaksanaan projek.

“Perancangan awal perlu mengambil kira keperluan bajet dan tenaga kerja yang mencukupi bagi penyelenggaraan aset yang siap kelak.

“Jika tidak dirancang dengan teliti dari awal, aset tersebut berisiko terbengkalai dan tidak dapat berfungsi secara optimum,” katanya semasa melakukan lawatan rasmi ke Pejabat Residen Betong di sini pada Khamis.

Tambah beliau, penyelenggaraan yang efisien bukan sahaja memastikan kelestarian kemudahan awam, malah mencerminkan kecekapan agensi pelaksana dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Datuk Dr Abdul Rahman turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara BDDA dan pemilik aset seperti jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan penyelenggaraan aset dapat dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas yang akan berfungsi sebagai platform penyelarasan dan pelaporan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek, termasuk aspek penyelenggaraan.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan sendiri oleh beliau dan dianggotai agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), kementerian, jabatan dan agensi teknikal berkaitan.

“Penyelenggaraan tidak boleh dianggap sebagai urusan selepas projek siap semata-mata, sebaliknya ia harus dimasukkan dalam kerangka perancangan sejak dari peringkat awal lagi,” ujarnya.

Beliau juga memberi peringatan kepada semua kontraktor yang telah menerima Surat Lantikan (LOA) supaya memulakan kerja-kerja lapangan dalam tempoh 30 hari, bagi memastikan projek tidak tertangguh dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem pelaksanaan projek dan memastikan pembangunan yang seimbang serta mampan di seluruh wilayah negeri, khususnya kawasan luar bandar seperti Betong.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong; Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas dan tetamu lain.-EDISI UKAS