Sarawak Delta Geopark Bakal Diiktiraf Sebagai UNESCO Global Geopark Tahun Hadapan

Disiarkan pada 15 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg optimis bahawa Bau berpotensi menjadi destinasi geopelancongan yang semakin popular menerusi pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun hadapan.

Menurut beliau, pelbagai usaha sedang giat dijalankan di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bau sebagai persiapan menjelang penilaian oleh pihak UNESCO yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

Bau merupakan sebahagian daripada Sarawak Delta Geopark. Kita berhasrat untuk memperoleh pengiktirafan UNESCO pada tahun hadapan, yang mana Bau akan turut berada di peta dunia bersama Kuching, Padawan dan Siburan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini pada Khamis.

Tambah beliau, selain mengangkat nama Bau ke peringkat antarabangsa, pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda, turut diberi penekanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan mampan negeri.

“Kita mahu meningkatkan kualiti generasi muda di Bau, terutamanya dari segi ilmu pengetahuan. Melalui itu, kita dapat merangsang aktiviti ekonomi baharu, menjana pendapatan dan seterusnya membina ekonomi yang mampan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak turut menyuarakan keyakinannya bahawa Sarawak bakal muncul sebagai pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di rantau ASEAN.

“Saya yakin dalam ekonomi baharu, Sarawak akan menyerlah. Kita akan menjadi pemain utama ASEAN dalam bidang tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, ADUN Opar, Billy Sujang, Pengarah Urusan Tecktonic and Sons Holdings Sdn. Bhd, Lee Chin Teck, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS