BAU: Hak dan kepentingan Sarawak akan terus dipertahankan demi memastikan kemajuan ekonomi negeri ini dapat diteruskan secara mampan dan tersusun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak kini menjana pendapatan melebihi RM15 bilion setahun hasil daripada kerja keras, perpaduan rakyat serta pentadbiran yang berkesan.
“Sebagai ketua, saya akan mempertahankan hak yang ada pada Sarawak. Sarawak maju, pendapatan lebih RM15 bilion setahun sebab kita kerja kuat, rakyat bersatu maju, politik perlu betul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City di sini, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan Sarawak adalah hasil usaha bersama dan pencapaian itu tidak seharusnya menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan mana-mana pihak.
“Kadang-kadang kita manusia ini bila dah berjaya, mulalah ada perasaan cemburu. Saya takut sebab pendapatan Sarawak semakin meningkat. Apabila Sarawak meningkat pendapatan, start la orang cemburu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kemajuan Sarawak memberi impak langsung kepada pembangunan negara secara keseluruhan.
“Kalau Sarawak maju, Malaysia maju. Sebab itu ekonomi Sarawak perlu ditadbir dan diurus dengan baik dengan perpaduan rakyat Sarawak sendiri,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, ADUN Opar, Billy Sujang, ADUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang, Pengarah Urusan Tecktonic and Sons Holdings Sdn. Bhd., Lee Chin Teck, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS