LUNDU: Hubungan erat dan kerjasama strategik antara agensi kerajaan di semua peringkat amat penting bagi memastikan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dapat diteruskan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menegaskan perkara tersebut ketika berucap dalam Sesi Taklimat Projek dan Pembangunan Kawasan N3 Tanjong Datu yang berlangsung di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini, pada Rabu.
“Hubungan sesama agensi penting untuk memastikan pembangunan Tanjong Datu dapat diteruskan untuk dimanfaatkan serta mencapai objektif dengan lebih berkesan melalui perkongsian maklumat yang membawa kepada penyelesaian yang lebih baik terhadap cabaran yang dihadapi,” ujarnya.
Menurut beliau, sumber pembiayaan bagi pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut adalah daripada beberapa inisiatif utama termasuk Projek Rakyat oleh Premier Sarawak, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), serta yang terkini melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Dalam pada itu, Azizul turut menekankan bahawa setiap permohonan berkaitan pembangunan hendaklah dimaklumkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lundu, sebelum dihantar ke Pejabat Pusat Khidmat Tanjong Datu.
“Pejabat ini berfungsi sebagai sistem bank data yang menyimpan maklumat untuk rujukan, statistik dan laporan yang akan digunakan bagi merancang dan melaksanakan pembangunan di kawasan ini,” tambahnya.
Taklimat telah disampaikan oleh beberapa wakil agensi termasuk Setiausaha Majlis Daerah Lundu (MDL), Norashikin Brahim; Hallizza Asli dari Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) Bahagian Kuching; Wan Nadzmi dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB); Elysha Woa dari Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Albert Amit dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha serta ahli-ahli Majlis Daerah Lundu. -EDISI UKAS