Program STEM CATALYSTS Serlahkan Pembelajaran Interaktif, Tarik Minat Pelajar Daerah Bau

Posted on 15 May 2025
Source of News: UKAS


BAU: Program pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dikenali sebagai STEM CATALYSTS berjaya dianjurkan semalam di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau, dengan matlamat utama untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menyeronokkan dan menarik minat pelajar di kalangan generasi muda.

Program yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Sarawak Skills mendapat sambutan hangat, dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Sungai dan Laut merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato' Henry Harry Jinep yang turut menyertai aktiviti-aktiviti interaktif yang telah disediakan untuk para pelajar.

Kehadiran beliau memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini yang bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Sementara itu, Dato' Henry memberitahu, program ini dirancang bukan sahaja untuk mendedahkan pelajar kepada konsep-konsep STEM, tetapi untuk mencetuskan rasa ingin tahu melalui aktiviti-aktiviti amali yang menyeronokkan dan berinteraktif.

Jelasnya, pelajar diberikan peluang untuk mendalami konsep-konsep sains dan teknologi dalam suasana yang santai, interaktif dan praktikal, dengan cara yang jauh lebih menarik daripada pendekatan tradisional.

"Pembelajaran STEM sebegini adalah langkah positif dalam menarik minat pelajar muda, serta memperkenalkan mereka kepada peluang kerjaya dalam bidang yang berkembang pesat di dunia moden.

“Pembelajaran yang melibatkan aktiviti hands-on dan pendekatan yang lebih seronok seperti ini dapat memupuk minat yang mendalam dalam kalangan pelajar.

"Keberkesanan pendekatan sebegini sangat ketara kerana pelajar tidak hanya mempelajari teori tetapi juga mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam suasana yang lebih praktikal,” kata beliau.

Sebanyak 10 buah sekolah dari Daerah Bau menyertai program ini, yang menawarkan pelbagai ruang pameran dan aktiviti interaktif berkaitan STEM. Antara pempamer yang terlibat termasuk Sarawak Skills, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), serta beberapa agensi dan institusi yang berkongsi kepakaran dalam bidang ini.-EDISI UKAS