KUCHING: Bantuan Kesihatan Bersasar dapat membantu pesakit memerlukan menerima bantuan kesihatan yang sepatutnya dalam usaha merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 agar tiada masyarakat tertinggal dalam menikmati kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif ini diadakan pada setiap bulan untuk memastikan kelulusan permohonan dapat disampaikan dengan segera.
Menurutnya, ia bagi membolehkan pesakit menjalani rawatan sebagaimana disarankan oleh pengamal perubatan.
"Pada Januari hingga Mac 2024, seramai 48 pesakit telah dibantu di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan dengan peruntukan berjumlah RM140,652.70.
"Manakala, 134 pesakit telah diluluskan Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) dengan peruntukan berjumlah RM2.69 juta.
"Di samping itu, seramai 27 orang pesakit dengan perbelanjaan berjumlah RM483,941.42 telah diluluskan untuk bantuan perubatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Selasa.
Dato Sri Fatimah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana memperkenalkan Skim Bantuan Perubatan yang telah banyak membantu terutama sekali golongan sasar Jabatan Kesihatan Malaysia Negeri Sarawak (JKMS).
Beliau turut memaklumkan mengenai kelulusan untuk perolehan sebanyak 30 buah mesin dialisis oleh Kerajaan Sarawak.
Ujarnya, kesemua 30 buah mesin dialisis tersebut telah diperoleh dan ditempatkan di 13 hospital dan dua klinik kerajaan di seluruh negeri.
"Dengan ini, lebih ramai pesakit buah pinggang di Sarawak mendapat slot rawatan di hospital dan klinik Kerajaan dengan hanya membayar sebanyak RM13 sekali rawatan berbanding sekitar RM130 hingga RM350 di pusat perkhidmatan rawatan dialisis kendalian pertubuhan bukan kerajaan atau swasta," jelas beliau. -EDISI UKAS