DEBAK: Program Sejambak Kasih Bahagian Betong 2025 diteruskan lagi dalam suasana penuh kemeriahan dengan penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan sempena sambutan Hari Gawai yang akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam menegaskan bahawa Program Sejambak Kasih merupakan inisiatif tahunan kerajaan yang telah dilaksanakan sejak lebih dua dekad lalu, bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut perayaan.
“Program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan penerima, tetapi turut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak kerajaan dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sejambak Kasih yang berlangsung di Rumah Panjang Gara Tindin, Belassau, Dit, Debak pada Selasa.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 24,101 penerima di seluruh Sarawak menerima bantuan sempena Hari Gawai tahun ini, termasuk 2,376 orang penerima dari Bahagian Betong.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu; wakil Residen Bahagian Betong, Javani Rashwan; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong, Abdul Shamat Kassim serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat dari Daerah Kecil Debak.-EDISI UKAS