IAC Sarikei Bukti Transformasi Perkhidmatan Awam & Komitmen Kerajaan Perkasakan Tadbir Urus

Disiarkan pada 14 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei (IAC Sarikei) yang baharu merupakan bukti nyata komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pentadbiran serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan kepada rakyat.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam ucapannya sempena perasmian pusat pentadbiran berkenaan, pada Rabu.

“Majlis pada hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasakan pentadbiran
Kerajaan Sarawak.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan agenda pembangunan holistik yang berteraskan tadbir urus baik, cekap dan berkesan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” ujar beliau.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut diiringi Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bangunan setinggi 12 tingkat yang dibina dengan kos RM147.25 juta itu akan menempatkan kira-kira 500 penjawat awam daripada 10 jabatan dan agensi utama kerajaan wilayah ini.

Menurut beliau, langkah menyatukan jabatan-jabatan di bawah satu bumbung akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kepada rakyat, bersesuaian dengan konsep ‘One Stop Customer Centric Service Delivery’ yang memudahkan urusan orang awam melalui perkhidmatan digital yang menyeluruh.

Selain reka bentuk moden dan mesra alam, IAC Sarikei juga dibangunkan mengikut piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI), sejajar dengan komitmen Sarawak terhadap kelestarian dan aspirasi pembangunan hijau dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sebanyak 46 projek bangunan pentadbiran baharu diluluskan di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan anggaran kos RM1.2 bilion, termasuk lima projek Pusat Pentadbiran Kerajaan Bersepadu (IAC) di peringkat bahagian.

“Daripada 46 projek tersebut, lima projek merupakan pembinaan IAC di peringkat
bahagian di mana setakat ini, 16 projek bangunan pentadbiran baharu telah siap dibina di pelbagai daerah dan daerah kecil - dan ini termasuklah IAC Sarikei yang akan dirasmikan pada hari ini dan IAC Serian.

“Sejumlah tujuh projek pula masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan IAC Bintulu, IAC Limbang dan IAC Lawas, manakala 23 projek bangunan pentadbiran kerajaan di pelbagai daerah dan daerah kecil masih dalam peringkat perancangan,” ujar beliau lagi.

Tegas beliau, usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membina sistem pentadbiran yang berdaya tahan, inovatif dan berasaskan teknologi digital menjelang 2030.

Hadir sama, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii; Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Selain itu, turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik,Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Ketua-Ketua Jabatan; dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS