Kebajikan Penjawat Awam Sarawak Terus Dijaga, Kerajaan Akan Bina Kuarters Kediaman Moden

Posted on 14 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Kebajikan Penjawat Awam Sarawak (SCS) terus terjaga apabila kerajaan negeri ini akan membina kuarters kediaman yang moden di seluruh Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kuarters kediaman ini nanti akan berkonsepkan pangsapuri yang dilengkapi dengan kemudahan lain termasuklah gimnasium dan tempat riadah.

“Kita haruslah memberikan keselesaan kepada penjawat awam kita dan sebab itulah kita telah meluluskan peruntukan lebih RM3 bilion untuk mendirikan kuarters baharu di seluruh Sarawak untuk penjawat awam.

“Namun, kita ubah cara pembinaannya agar tidak seperti dahulu di mana kita akan membina kuarters berkonsepkan apartment untuk pegawai kerajaan kita dan kita berikan tempat-tempat rekreasi termasuklah gimnasium.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei, pada Rabu.

Mengulas lanjut dalam sidang media, beliau turut mencadangkan agar lokasi pembinaan kuarters ini nanti dibuat berdekatan dengan pusat sukan seperti stadium bagi membolehkan penjawat awam memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Hal ini kerana pusat sukan terutamanya stadium yang telah disediakan oleh kerajaan kurang dimanfaatkan fasilitnya, tegas Premier Sarawak.

“Kemungkinan kita akan pilih lokasi pembinaannya berdekatan dengan pejabat dan stadium supaya mereka juga boleh menggunakan stadium untuk beriadah kerana banyak saya dengar, stadium kita tidak digunakan.

“Kita ada banyak stadium yang kita bina dengan harga yang tinggi, tetapi tidak digunakan. Jadi lebih baik ianya dibuka untuk orang awam bagi memanfaatkan sepenuhnya fasiliti yang ada di stadium, dan kerajaan Sarawak akan menyelenggaranya,” ujar beliau lagi.

Meskipun ianya dibina oleh kerajaan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan penjawat awam persekutuan juga boleh mendiami kuarters berkenaan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam ucapan aluannya menjelaskan peruntukan keseluruhan pembinaan kuarters berkenaan adalah sebanyak RM3.55 bilion.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.55 bilion bagi membina sebanyak 3,673 unit kuarters.

“Ini merupakan sumbangan dan pengiktirafan besar kerajaan Sarawak terhadap kita, anggota perkhidmatan awam,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri-Menteri Kabinet Sarawak; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

Selain itu, turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Ketua-Ketua Jabatan dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS