TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Sarawak (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada telah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) fasa 1/2025 kepada 34 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan 70 penerima insentif bertempat di Pusat Khidmat DUN N.21 Tebedu pada Rabu.
Sumbangan tersebut adalah untuk membiayai aktiviti JKKK termasuk pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia.
Dalam ucapannya, Dr Simon berharap dana yang disalurkan itu akan digunakan sepenuhnya oleh JKKK untuk manfaat penduduk kampung sepanjang tahun ini.
Pada masa sama, beliau berharap pelajar yang menerima insentif itu akan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan cemerlang.
Dalam majlis sama, Dr Simon menyampaikan sijil pelantikan semula kepada seorang Ketua Kaum dan seorang kapitan termasuk lantikan baharu iaitu Frisca Agin selaku Ketua Kampung Taee, Serian. -EDISI UKAS